Showing posts with label ramadhan. Show all posts
Showing posts with label ramadhan. Show all posts

9/15/2009

Mendamba Rindu Lailatul Qadr

Doa Malam Lailatul Qadr 1
Doa Malam lailatul Qadr 2
Tiada yang lebih besar pengharapan seorang mukmin dibulan Ramadhan Al Mubarak melainkan menginginkan malam Lailatul Qadr


1. Surah Al-Qadr (1-5)
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Sesungguhnya kami turunkan ia (Al-Quran) itu pada malam Al-Qadr (1)
Dan apakah yang kamu tahu tentang malam Al-Qadar itu? (2)
Malam Al-Qadr lebih baik dari 1000 bulan. (3)
Padanya turun malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhan mereka dari segala urusan (4)
Sejahtera ia sehingga terbit fajar (5)

2. Dari 'Ubadah bin Samit r.a, Sabda RasuluLlah s.a.w:

"Malam Al-Qadr adalah pada 10 malam terakhir (Ramadhan). Barangsiapa berdiri (untuk solat) untuk mendapat ganjaranNya, maka sesungguhnya Allah akan mengampunkan semua dosa lampaunya dan dosa segala dosa yang akan datang. Ia adalah malam yang ganjil; ke-9, 7, 5, 3, atau malam terakhir Ramadhan
Sesungguhnya, tanda malam Al-Qadr adalah terasa bersih dan bercahaya seolah-olah terdapat bulan yang terang, nyaman dan tenang pada malam itu. Ia tidak sejuk atau panas dan tiada tahi bintang dibenarkan sehingga pagi. Tandanya diwaktu pagi adalah matahari naik tanpa terik kepanasan seperti bulan yang mengambang. Syaitan tidak dibenarkan untuk keluar bersama matahari pada hari itu." (Hadith Riwayat Ahmad).

3. Adalah digalakkan berdoa sepanjang bulan Ramadhan, 10 malam terakhir dan terutama pada malam-malam ganjil. Imam Ahmad dan At-Tirmizi meriwayatkan dari Aisyah r.a, ia berkata "Wahai pesuruh Allah, jika aku menemui malam Al-Qadr, apakah yang patut aku katakan? Rasulullah s.a.w menjawab bacalah doa, Maksudnya "Ya Allah, sesungguhnya engkau Maha Pengampun, Engkau suka mengampunkan, maka ampunkanlah aku"

9/12/2009

TAZKIRAH RAMADHAN



SIRI 1 : AWAL AL-MUBARAK
SIRI 2 : EMPAT TUNTUTAN
SIRI 3 : KELEBIHAN SAHUR & TAMAR
SIRI 4 : BERBUKA PUASA
SIRI 5 : LAILATUL QADAR
SIRI 6 : Akan Dikeluarkan

Adalah menjadi harapan kami agar anda dapat mengedarkan TAZKIRAH ini
supaya kita beroleh pahala yang berlipat ganda di bulat berkat ini.
SIRI 1 : AWAL AL-MUBARAK
"Berpuasa pada bulan Ramadhan dan berpuasa sebanyak tiga hari pada setiap bulan
akan menjauhkan fikiran jahat daripada hati dan membersihkannya."

Ramadhan menjenguk lagi. Dan sedari awal kedatangannya memang dinanti. Inilah masa yang paling sesuai untuk merebut ganjaran pahala yang berlipat kali ganda tanpa diganggu-gugat oleh syaitan dan iblis, hanya nafsu yang perlu dikawal. Setiap individu mempunyai cara yang tersendiri menyambut Ramadhan. Ada juga mukmin yang memulakan sambutan puasa dengan berpuasa sunat.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Janganlah kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seseorang yang telah membiasakan diri berpuasa sunat, maka ia dibolehkan berpuasa." - HR Tujuh Ahli Hadith
Puasa Ramadhan tidak boleh dimulakan dengan berpuasa sunat atas alasan ingin menyambut ketibaan Ramadhan. Namun, jika seseorang individu itu telah biasa dan memang mengamalkan berpuasa sunat di dalam hidupnya, maka individu ini tidak ditegah untuk berpuasa sunat walaupun puasa sunat yang dilakukannya adalah pada sehari atau dua hari sebelum kedatangan Ramadhan. Malahan, hal seperti ini dibolehkan di dalam Islam. Misalnya, jika seseorang itu telah biasa berpuasa sunat pada setiap hari Isnin dan Ramadhan pada tahun itu jatuh pada hari Selasa, maka individu itu dibolehkan meneruskan puasa sunatnya sebagaimana lazimnya.

Namun jika individu itu sengaja melakukan puasa sunat sedangkan itu bukanlah kebiasaan amalannya, maka puasa seperti ini adalah diharamkan kerana ia dikatakan sebagai mendahului ibadat puasa Ramadhan. Walaupun ada segolongan individu yang berpendapat puasa seperti ini sebagai satu penghormatan untuk menyambut ketibaan Ramadhan tetapi Rasulullah SAW sendiri menidakkan dalil yang sebegini dan menegah sama sekali amalannya.

Terdapat segelintir golongan bukan Islam yang berpendapat ibadat puasa ini tidak lain daripada meletih dan menyeksakan lantaran pantang larang yang perlu dipatuhi, namun pendapat-pendapat sebegini mula terhakis berikutan penemuan dan kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa puasa adalah satu amalan yang baik bagi menjamin tahap kesihatan mental dan fizikal secara keseluruhannya.

Di samping menerangkan kepada mereka tentang konsep sebenar ibadat dalam Islam, kita sentiasa digalakkan untuk memperbaiki dan menambah amalan dari semada ke semasa terutamanya di dalam bulan Ramadhan ini. Ibadat utama dalam Ramadhan ialah untuk mengerjakan puasa.
"Barangsiapa tidak membulatkan niatnya berpuasa sebelum fajar (subuh), maka tidak ada puasa baginya." - HR Ahmad & Ashabus Sunan
Awal puasa ialah berniat untuk mengerjakan ibadat tersebut. Niat puasa terbahagi kepada dua iaitu:
Berniat setiap malam sebelum datangnya waktu Subuh - seseorang yang berkeinginan untuk berpuasa, wajib menyatakan niatnya; Berniat pada awal bulan Ramadhan sebelum datangnya waktu Subuh - seseorang yang ingin berpuasa pada bulan tersebut, wajib menyatakan niatnya untuk berpuasa selama satu bulan Ramadhan.
Kedua-dua pengertian ini boleh diterima pakai, namun bagi mendidik anak-anak kecil berlatih berpuasa, lebih wajar jika kaedah yang pertama ini diterapkan kepada mereka. Manakala kaedah yang kedua pula lebih mudah dan meringankan Seseorang yang akan mengerjakan ibadat puasa selama sebulan Ramadhan, memadai jika menyatakan niat puasanya sekali pada malam pertama Ramadhan. Jika niatnya dinyatakan setiap malam, maka hal ini dikategorikan sebagai sunat dan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.

Selamat Berpuasa dan wassalam.

8/21/2009

AHLAN YA RAMADHAN!






Ahlan Ya Ramadhan atau Selamat Datang Wahai Ramadhan bersempena dengan bulan yang penuh berkat ini. Pejam celik, pejam celik bulan Syab’ban akan meninggalkan kita beberapa hari lagi, ini bermakna Bulan Ramadhan akan kembali menemui kita, Insya-Allah. Bagaikan kita menunggu seorang tetamu yang teramat istimewa, Ramadhan ini ditunggu-tunggu kehadirannya oleh umat Islam di seluruh pelusuk dunia dengan perasaan yang sungguh gembira. Menurut satu riwayat, Rasulullah s.a.w telah mempersiapkan dirinya 6 bulan sebelum tibanya Ramadhan. Malah Rasulullah s.a.w telah mengajar para sahabatnya sepotong doa iaitu : “Ya Allah bekatilah kami pada Sya’ban dan sampaikan kami kepada Ramadhan.”

Maka bersempena dengan kehadiran Bulan yang Mulia ini, bersama-samalah kita memuhasabahkan diri kita atau merenung sejenak apakah kita sudah bersedia untuk menghadapi Ramadhan Al-Mubarak ini atau dikenali juga sebagai Madrasatul Ramadhan atau Sekolah Ramadhan ini. Kita perlulah mengetahui bahawa Fadhilat bulan Ramadhan ini teramat banyak, yang mencakupi dari sudut emosi, jasmani, rohani, dan intelek kita sebagai seorang Muslim.
Rasulullah s.a.w ada menerangkan besarnya fadhilat Ramadhan yang akan diterima oleh Umat Islam yang menjalani ibadat puasa ini sebaik-baiknya :

“Wahai Manusia, seseungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan yang Allah telah jadikan puasa adalah kefarduan dan Qiyam pada malamnya adalah satu tambahan. Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardu di bulan yang lain. Bulan Ramadhan adalah bulan untuk memberi pertolongan dan Allah akan menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan dari api neraka.”

Bagi golongan Mukmin mereka akan sentiasa merindui kedatangan Ramadhan dan ternanti-nanti kehadirannya kerana mereka sentiasa mendambakan pahala dan keberkatan yang berlipat-kali ganda dari Allah s.w.t yang dikurniakan sekali dalam setahun je. Janganlah pula kita berlumba-lumba untuk menyediakan juadah berbuka yang melampaui batas sehingga berlakunya pembaziran dan sebagainya. Jangan pula menjadikan alasan berpuasa ini sebagai dalih untuk tidur sepanjang hari kerana keletihan sedangkan berpuasalah salah satu alat untuk meningkatkan produktiviti kita selama sebulan ini.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya telah datang kepada kamu Bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan berpuasa padanya, dibuka segala pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan. Padanya terdapat satu malam yang terlebih baik dari seribu bulan. Mereka yang tidak diberikan kebaikan pada malam ini bermakna telah diharamkan baginya segala rupa kebajikan.” - Riwayat Ahmad & Nasai’e

Insya-Allah bersempena bulan Ramadhan ini saya akan meluangkan sedikit masa untuk menulis tazkirah atau Risalah Ramadhan khas sempena bulan Ramadhan dan bukan sekadar pada hari Jumaat sahaja.

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak
.