9/20/2014

Saidina Uthman bin Affan RA

KHALIFAH UTHMAN BIN AFFAN


 Picture


Latar Belakang
Khalifah Uthman Bin Affan dilahirkan semasa Nabi berumur 5 tahun. Beliau telah memeluk agama Islam melalui perantaraan Abu Bakar. Beliau adalah seorang daripada sahabat Nabi yang rapat dan dijamin syurga oleh Nabi. Beliau juga terkenal sebagai seorang dermawan yang banyak mengorbankan harta untuk kepentingan Islam. Beliau menyertai semua peperangan pada zaman Nabi kecuali Perang Badar. Beliau merupakan seorang juru tulis wahyu. Beliau telah diberikan gelaran Zun-Nurain kerana memperisterikan 2 orang puteri Nabi iaitu Rokiah dan Ummi Kalsom.

Perlantikan Uthman Sebagai Khalifah
Uthman dilantik sebagai khalifah selepas kematian Khalifah Umar al-Khattab. Khalifah Umar yang telah ditikam sempat menamakan 6 orang sahabatnya iaitu Uthman Bin Affan, Abdul Rahman Bin Auf, Ali Bin Abu Talib, Talhah Bin Ubaidullah, Zubair al-Awwam dan Saad Abu Waqqas untuk memilih salah seorang dari mereka sebagai bakal khalifah dalam tempoh 3 hari. Anak Khalifah Umar turut disenaraikan sebagai pemilih tetapi tidak dibenarkan untuk dipilih.

Akhirnya pemilihan tersebut tertumpu kepada Uthman Bin Affan dan Ali sahaja setelah calon yang lain menarik diri. Dengan kebijaksanaannya sebagai pengerusi pemilihan, Abdul Rahman Bin Auf telah melakukan tinjauan dari kalangan sahabat dan umat Islam dan mendapati bahawa Uthman lebih popular kerannya ciri Uthman sebagai pemimpin yang lembut, bertoleransi, pemaaf, mudah berbicara dan mendapat sokongan penuh dari kalangan keluarganya iaitu Bani Umayyah. Dengan itu, beliau telah dilantik sebagai khalifah umat Islam yang ketiga.

Dasar Pemerintahan
Melantik Pegawai dari Kaum Keluarga Sendiri
Khalifah Uthman banyak melantik keturunan Umayyah memegang jawatan penting dalam pentadbirannya. Diantaranya termasuklah Marwan Bin al-Hakam sebagai Setiausahanya, SAid Bin al-As sebagai Gabenor Kufah, Abdullah Bin Amir sebagai Khalifah Basrah, Abdullah Bin Saad Bin Abi Sarrah sebagai Gabenor Mesir dan sebagainya. Bagi Uthman, keturunan Umayyah sememangnya terkenal dengan pengalaman mereka di dalam bidang pentadbiran di samping mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh. Bagi Uthman juga, kedua-dua faktor ini tidak sahaja dapat melancarkan pentadbiran, malah akan mengelakkan berlakunya penyelewengan.

Membina dan Menguatkan angkatan Tentera Laut
Uthman banyak membelanjakan wang negara bagi mengukuhkan kedudukan angkatan tentera laut khususnya di Mesir dan Syria. Angkatan tentera laut hanya diwujudkan pada zaman Uthman. Hal ini tentu memerlukan banyak belanja. Kebetulan gabenor di kedua-dua tempat ini mempunyai hubungan kekeluargaan dengan beliau. Gabenor Mesir adalah Abdullah Bin Said Bin Abi Sarrah manakala Gabenor Syria ialah Muawiyah Bin Abu Sufian. Akibatnya, timbul tuduhan yang mengatakan Uthman menggunakan wang tersebut untuk kepentingan peribadi dan keluarganya sendiri.

Memperkenalkan Dasar Pertukaran Tanah
Khalifah Uthman telah memperkenalkan satu dasar baru iaitu Dasar Pertukaran Tanah di Iraq dengan tanah di Hijaz dan Yaman. Melalui dasar ini, mereka yang memiliki tanah di Hijaz dan Yaman boleh menukarkannya dengan yanah sawafi (terbengkalai) di Iraq yang terkenal dengan kesuburannya. Tujuan Uthman adalah untuk membalas jasa golongan tentera. Peluang ini terbuka luas kepada sesiapa sahaja yang memiliki tanah di kedua-dua tempat tersebut. Di antara mereka yang menikmatinya termasuklah Talhah Bin Ubaidullah, Marulan Bin al-Hakam dan Ashath Bin Qais al-Kindi.

Picture
Saidina Uthman bin Affan RA dilahirkan di Taif,Semenanjung Arab.

Memihak kepada Quraisy
Khalifah Uthman telah menggubal dasar yang dibuat oleh Umar dengan memberikan kuasa pemilikan tanah kepada orang Quraisy. Said Bin al-As, Gabenor Iraq (Kufah) telah mengisytiharkan bahawa tanah-tanah sawad di Iraq adalah kepunyaan kaum Quraisy. Dalam hal ini, Uthman telah berdiam diri seolah-olah menunjukkan beliau bersetuju dengan tindakan Said. Hal ini menimbulkan kemarahan orang bukan Quraisy terutamanya golongan ahl al-ayyam yang kemudiannya dikenali sebagai al-Qurra. Sebelum pengisytiharaan ini, merekalah diberi kuasa untuk mengerjakan tanah-tanah tersebut.

Penghijrahan Bebas
Khalifah Uthman juga telah merombak dasar penghijrahan yang dibuat oleh Umar. Uthman membenarkan para sahabat berhijrah ke luar dari Semenanjung Tanah Arab. Hal ini menyebabkan ramai tokoh yang berhijrah ke luar terutamanya ke kawasan baru yang dibuka/ditakluki, khususnya di Mesir, Syria dan Iraq. Umar melarang penghijrahan ini kerana bimbang mereka akan terpengaruh dengan kebudayaan asing dan kemewahan hidup sedangkan bagi Uthman, penghijrahan ini dapat menyebabkan proses penyebaran Islam berjalan dengan lebih lancar.

Menerbitkan Naskah Tunggal al-Quran
Pada zaman Khalifah Uthman, wilayah Islam agak luas. Hal ini menyebabkan wujudnya perbezaan bacaan/sebutan al-Quran antara satu tempat dengan tempat yang lain. Mereka membaca loghat masing-masing disebabkan mereka gagal menguasai nahu Arab dengan baik. Uthman akhirnya telah bertindak menerbitkan naskah tunggal al-Quran yang dikenali sebagai "Mushanf Uthmani" dan dihantar ke setiap wilayah Islam. Beliau juga memastikan agar al-Quran dibaca mengikut loghat Quraisy kerana ia diturunkan dalam bahasa Quraisy. Naskah-naskah lain telah dikumpul dan dibakar.

Lemah-lembut dalam Pentadbiran
Khalifah Uthman adalah seorang khalifah yang lemah-lembut berbanding dengan Umar al-Khattab. Beliau sangat bersimpati dengan kesusahan orang lain dan sering memaafkan kesalahan seseorang. Misalnya, Uthman telah menggunakan "diyad" (wangnya sendiri) untuk membayar "diat" (hutang darah) berhubung dengan pembunuhan Khalifah Umar. Beliau juga telah memaafkan kesalahan Jundah al-Azdi yang telah dikenakan hukum bunuh oleh kadi Kufah. Sikapnya yang lemah-lembut ini mungkin dipengaruhi oleh sesiapa yang agak tua, iaitu 70 tahun ketika mula memerintah.

Faktor yang Mempengaruhi Kekacauan
Perbalahan
Semasa pemerintahan Khalifah Uthman, telah berlaku pelbagai perbalahan di mana ia bukan sahaja melibatkan penduduk di Semenanjung Tanah Arab, tetapi juga penduduk di luar Semenanjung Tanah Arab. Misalnya, perbalahan telah berlaku di antara Arab Utara (Mudar, Qais) dan Arab Selatan (Rabi'ah, Yaman), antara Quraisy dan Yanan, antara Bani Hasyim dan Bani Umayyah, antara penduduk Hijaz dan luar Hijaz dan sebagainya. Akibatnya, keadaan politik di Semenanjung Tanah Arab semakin tidka stabil sehingga menimbulkan pelbagai kekacauan.

Dasar Penghijrahan
Khalifah Uthman telah mengubah dasar penghijrahan yang dibuat oleh Umar di mana beliau membenarkan mat Islam berhijrah ke wilayah baru dikuasai di Mesir, Syria dan Iraq. Tindakan beliau telah membolehkan kebanyakan orang Arab yang berhijrah itu hidup dalam kemewahan di tengah-tengah kesusahan penduduk tempatan. Akibatnya, wujud jurang ekonomi antara pendatang baru dan penduduk tempatan sehingga mencetuskan peperangan.

Khalifah Uthman bin Affan RA membenarkan penghijrahan sahabat ke wilayah yang telah ditakluki oleh Khalifah terdahulu.

Munculnya Golongan Pemegang Amanah (ahl al-ayyam)
Semasa pemerintahan Khalifah Uthman, beliau telah mengambilalih tanah sawafi yang diusahakan oleh golongan ahl al-ayyam dan diserahkan kepada kaum Quraisy. Tindakan ini telah menimbulkan kemarahan ahl al-ayyam dan kemarahan mereka memuncak apabila Uthman memperkenalkan dasar pertukaran hak milik tanah yang berada di Iraq dengan tanah-tanah di luar Iraq. Hal ini menyebabkan golongan yang menikmatinya hanya mereka yang memiliki tanah di kawasan tersebut sahaja. Akibat dari rasa tidak puas hati, ahl al-ayyam telah bangun menentang Uthman sehingga mencetuskan kekacauan politik.

Usia Uthman dan Sifatnya
Khalifah Uthman kerap terlalu bersimpati dengan kesusahan orang lain dan sering memaafkan orang yang telah melakukan kesalahan yang dirasakan boleh dimaafkan. Usianya yang lanjut iaitu 82 tahun semasa kemuncak kekacauan berlaku telah menambahkan lagi sifat lembutnya. Sikapnya ini telah dipergunakan oleh golongan tertentu untuk membangkitkan kekacauan.

Sikap Uthman Memihak kepada Ketua-ketua Kabilah
Bagi mengukuhkan kedudukannya, Uthman telah bersikap memihak kepada ketua-ketua kabilah di mana mereka telah ditawarkan kepada jawatan-jawatan penting. Antara mereka termasuk juga bekas murtad. Sebagai contoh, Ash'ath Bin Qais al-Kindi telah dilantik sebagai Gabenor Azrabaijan.

Membenar Para Sahabat Berhijrah ke Luar Hijaz
Khalifah Uthman juga membenarkan para sahabat berhijrah ke luar Hijaz yang sebelum ini dilarang oleh Umar. Hal ini menyebabkan mereka terpengaruh dengan kemewahan dan kebendaan.

Melantik Keluarganya ke Jawatan-jawatan Penting
Dalam menjalankan pentadbiran, Khalifah Uthman juga mengamalkan dasar nepotisme, iaitu mengutamakan keluargannya dalam menentukan jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan. Misalnya, Uthman telah melantik Marwan Bin Hakam sebagai Setiausaha, Abdullah Bin Amir sebagai Gabenor Basrah, Abdullah Bin Saad sebagai Gabenor di Mesir dan sebagainya. Dasar ini telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan umat Islam.

Menggunakan Wang Baitul-Mal
Khalifah Uthman dituduh menyalahgunakan kekayaan negara dan harta rampasan perang. Hal ini berpunca dari tindakan beliau yang tidak mahu mendengar pandangan sahabatnya, dlam soal pembahagian harta-benda Baitul-Mal. Khalifah Uthman beranggap tidak menjadi satu kesalahan jika beliau menggunakan Baitul-Mal yang berlebihan untuk dirinya dan keluarganya dengan alasan beliau telah banyak mengorbankan harta dan wang untuk perjuangan Islam. Namun, hal ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat jelata.

Tindakan Membebaskan Ubaidullah dari Qisas
Ubaidullah Bin Umar sepatutnya dijatuhkan hukuman Qisas kerana membunuh Hurmazan dan Jafainah. Tetapi Uthman telah menyelamatkan Ubaidullah dengan menganggapkan dirinya sebagai wali kepada Hurmazan dan 2 orang lagi yang telah dibunuh oleh Ubaidullah itu dengan membayar di-lab dari wangnya sendiri kepada Baitul-Mal. Tindakan Uthman telah tidak dipersetujui oleh sesetengah golongan orang Islam termasuk Ali Bin Abu Talib.

Tindakan Memaafkan Jundab al-Azdi
Uthman telah memaafkan Jundab al-Azdi yang telah dijatuhkan hukuman mati oleh Gabenor di Kufah, aiitu al-Walid Bin Uqibah. Hal ini telah menyebabkan suasana Kufah semakin buruk di mana Jundab telah menggunakan peluang tersebut untuk menghuru-harakan keadaan di Kufah. Akhirnya, al-Walid telah difitnah dan dipecat dari jawatannya.

Kegagalan Uthman Meluaskan Jajahan Taklukan
Semasa Uthman menjadi khalifah, beliau tidak berjaya meluaskan wilayahnya. Peluasan wilayah hanya dapat dilakukan semasa peringkat awal pemerintahannya. Kegagalan tersebut telah memberi kesan kepada ekonomi negara Islam lebih-lebih lagi di Kufah. Ekonomi di Kufah menjadi semakin tidak stabil akibat pertambahan penduduk di bawah dasar penghijrahan bebas.

Pemusnahan Salinan al-Quran
Khalifah Uthman juga ditentang akibat tindakannya yang memusnahkan salinan al-Quran yang ditulis dalam pelbagai loghat dan menerbitkan salinan yang standard yang dikenali sebagai "Mashanf Uthmani". Walaupun usaha beliau baik, namun golongan tertentu menganggapnya sebagai usaha untuk mengukuhkan kekuasaannya dalam bidang keagamaan.

Keengganan Uthman Menerima Nasihat dan Melepaskan Jawatan Khalifah
Polisi pentadbiran Uthman telah menimbulkan rasa tidak puas hati golongan tertentu. Akibatnya, sahabat beliau telah menasihatinya supaya mengubah polisi pentadbiran. Walau bagaimanapun, beliau tidak menerima nasihat tersebut, malah Uthman juga telah diminta untuk melepaskan jawatan khalifahnya tetapi juga ditolak oleh Uthman. Akibatnya, berlakulah pelbagai kekacauan bagi menentang Uthman.

Pengaruh Luar
Pengaruh luar turut menyebabkan kekacauan berlaku. Misalnya, Abdullah Bin Sabak dikatakan cuba memecahbelahkan umat Islam. Beliau telah menghasut umat Islam untuk menentang Uthman dengan memperkembangkan fahaman qisayah yang menyatakan jawatan khalifah adalah menjadi warisan dan hak Bani Hasyim.

Pengingkiran Abu Dzar al-Ghifari
Abu Dzar al-Ghifari adalah sahabat Nabi. Beliau telah mengkritik politik pentadbiran Khalifah Uthman dan gabenor-gabenor yang hidup mewah. Akibatnya, Uthman telah menyingkirkan Abu Dzar al-Ghifari ke sebuah kampung kecil. Hal ini kemudiannya dieksploitasikan oleh sesetengah golongan untuk menentang pemerintahan Islam.

Tindakan Mengambil al-Hakam Bin al-As
Khalifah Uthman juga dikecam kerana memanggil semua bapa saudaranya iaitu al-Hakam Bin al-As bersama keluarganya ke MAdinah padahal beliau telah dihukum buang daerah oleh Nabi kerana kebiadapannya yang dilakukan terhadap Nabi. Tindakan Uthman seolah-olah mengingkari perintah Nabi. Isu ini kemudiannya dieksploitasikan untuk menentang Khalifah Uthman.


http://infopediapk.weebly.com/uploads/5/8/7/9/5879298/3873294.jpg?576
Maqam Saidina Uthman Bin Affan RA di Baqiq- Madinah