6/23/2008

MENCARI REDHA ILLAHI

Mengapa catatan ini sampai pada ku?

Bismillahirrahmanirrahim

Semasa itu di penghujung tahun 70an dimana kisah ini bermula, saya memangnya sangat mencintai buku, malah sejak dulu dizaman anak-anak disekitar akhir tahun 50an dan beterusan sehingga kini, buku bagaikan teman dikala sunyi dan keseorangan. Seringkali duit belanja sekolah saya ketika itu saya simpan sebagian buat membeli buku juga komik-komik dizaman itu.
Dizaman anak-anak sehingga remaja saya juga digulungkan sebagai anak yang agak lasak dan nakal dikampung. Mungkin itu sifat anak-anak juga orang muda yang seringkali ingin menunjukan kelebihannya. Tetapi walaupun dianggap begitu, saya sangat insaf segala tuntutan hidup yang perlu dipersiapkan buat menuju dewasa sebagai manusia yang berguna nanti. Maka mencari kebaikan dalam meniti hidup tidaklah saya lupakan. Selain selalu bergaul dengan mereka yang lebih dewasa, buku menjadi kawan setia buat saya menimba segala ilmu serta pengalaman.
Cerita komik seperti Awang Komeng, Panglima Hitam juga komik inggeris seperti The Beano, Dandy dan sebagainya. Memang dari sekolah rendah lagi, saya mendapat pendidikan disekolah Inggeris sehinggalah ketingkatan 5, lalu lulus Senior Cambridge.
Setelah tamat belajar diuniversiti, saya mula berkerja dengan sebuah syarikat multinasional beribupejabat diPetaling Jaya. Saya ditakdirkan untuk berkerja dipihak swasta walau pada zaman itu ramai anak bangsa lebih suka bekerja dengan kerajaan. Maklumlah gaji mungkin lebih baik dan kerja berpencen juga terjamin. Mungkin sifat saya yang "inkuisitif" tiada apa yang saya perlu bimbangkan, kerana percaya rezeki ada dimana-mana, asalkan halal dan sungguh bekerja, Allah SWT akan redha. Lagi pun ketika itu terlalu sedikit anak bangsa melayu yang ingin bekerja dengan syarikat swasta, jadi saya kira biarlah saya yang memenuhi lompongan itu.
Lupakan saja cerita tentang saya ini.
Begini, sekitar hujung tahun 70an, saya ditugaskan menyelia kawasan perniagaan syarikat di Negeri Sembilan. Kuala Pilah salah satu bandar lama di Negeri Sembilan yang sering saya lewati, kerana saya pun memang anak kelahiran daerah ini, bukan apa kerana begitu banyak kenangan pada bandar kecil ini. Ketika zaman anak-anak saya selalu pergi kesebuah kedai buku yang diusahakan oleh seorang bangsa melayu.Kedai inilah yang banyak menjual buku-buku juga komik-komik yang saya minati.
Terdapat juga dengan banyaknya kitab-kitab serta buku agama yang dijual. Hampir semua kitab-kitab lama, tulisan jawi dan arab, kalau ada yang berbahasa melayu/Indonesia, kitab-kitab karangan ulama Indonesia juga kitab agama berbahasa arab yang diterjemahkan ke-bahasa Indonesia. Hampir semua kitab kertas kuning lama, yang agak suram kulit luar tanpa apa-apa grafik, cuma tajuk dan pengarang sahaja yang tercatat, itu sahaja. Mungkin juga sudah agak lama terbiar dipara susunan buku tanpa dibeli sesiapa sejak sekian lama.
Maka seringkali-lah saya mengunjungi kedai buku ini bila ada kesempatan. Pada awal tahun 1980, kalau tidak silap, saya mendatangi kedai buku ini. Seperti biasa mencari bahan bacaan yang saya minati, tetapi kali ini saya terkejut, melihat kedai buku ini sedang diubahsuai dengan longgokan buku-buku dimerata tempat didalam kedai. Yang paling menyentuh hati melihat kitab-kitab lama yang bertimbun seperti sampah yang hendak dibuang.
Kerana saya, yang menjadi pelanggan tetap sejak zaman anak-anak, tuan punya sudah tentu mengenali saya. Lalu saya bertanya, apa sudah jadi dengan buku-buku dan kitab-kitab yang bersepah ini. Tuan kedai ingin mengubah perniagaan, kerana buku tidak berapa laku untuk dijual lagi. Malah kitab-kitab ini hampir tiada yang ingin membeli, berlapuk malah ada yang disaluti tahi lipas disana sini. Semuanya untuk dibuang dan dibakar.
Saya terpegun dengan kata-kata tuan kedai, malah begitu pilu hati melihatkan kitab-kitab agama yang bertimbun tanpa dihargai. Tersentuh hati saya, walaupun ketika itu masih muda dan tidak begitu cenderong hal-hal agama, tetapi hati berdetik dan rasa insaf mengenangkan mereka yang mengarang kitab-kitab itu tidak langsung dihargai.
Tidak tahu apa yang mendorong saya, terus sahaja saya meminta tuan kedai memberikan longgokan kitab-kitab usang itu kepada saya. Tuan kedai tidak membantah, malah begitu senang jika saya mengambilnya. Untuk tidak dikira percuma saja, saya memberi RM50 kepadanya, kira halal-lah. Lalu saya pun mengumpulkan kitab-kitab tua ini kedalam kotak seperti pemungut kertas surat khabar lama untuk dijual.
Jumlahnya agak banyak, pelbagai tajuk karangan orang agama serta ulama dari Indonesia, Arab, Jordan, Syria,India, Pakistan dan Mesir yang semuanya dalam bahasa jawi, juga kitab-kitab ulama nusantara dunia melayu ini. Banyak juga kitab-kitab karangan Buya Hamka dan ulama seangkatan dengannya dari Indonesia.
Maka dipendekan cerita, saya ketemukan sebuah kitab yang menjadi sumber pembaharuan dalam jiwa saya. Kitab " Qissatul Iman" karangan Mufti Besar Libya bertarikh March 1963.
Terlebih dahulu ingin saya peringatkan, kitab ini agak berbunga dalam penyampaiannya, secara berdailog. Juga agak berat difahami, namun jika dibaca dengan teliti dari satu tajuk ke tajuk yang lain secara urutan, ia akan mudah difahami. Jangan pula dibaca hanya bagian-bagian sahaja ini boleh membantutkan fikiran. Lebih mudah difahami, kalau sipembaca mempunyai dasar ilmu mantik, logika, falsafah dan yang tentunya faham sungguh sifat dua puluh juga usuludin dan asma2 Allah SWT.
Umumnya kitab ini membicarakan ilmu kalam dan tasauf. Nanti jika diizinkan Allah SWT, seharus kita lebih faham dalam beragama, supaya keadilan dan syumulnya Islam pun menyerlah dihati sanubari, maka makin mantaplah iman dan makin takwalah jiwa.
Inilah kitab yang saya alih bahasakan ke bahasa melayu agar terpahat selamanya dialam siber, buat renungan mungkin rujukan anak-anak atau mungkin cucu cicit saya serta mereka yang ingin mencari kedamaian dalam beragama.